Thursday, April 25, 2013

Katak pekak


  Jauh di pedalaman suatu belantara wujud sebuah desa kecil. Di sana, kelihatan kecoh anak muda berkumpul sedang melakukan sesuatu. Mereka punya sebuah hobi aneh. Mereka sedang mengumpul katak-katak yang dijumpai di kampung tersebut. Tiap-tiap katak tersebut kepunyaan setiap anak muda di kampung itu. Masing-masing berbangga dengan mendakwa katak  mereka lah yang paling hebat. Boleh melakukan itu dan ini.

  Lalu mereka ingin menguji, katak siapa sebenarnya yang paling gah. Mereka mengumpul  segerombolan katak tersebut dan diletakkan bersama di dalam sebuah baldi besar. Katak yang mula-mula berjaya melompat keluar daripada baldi tersebut akan dianggap pemenang.

Perlawanan bermula.

  Tiap-tiap katak tersebut mula melompat sejurus dilepaskan ke dalam baldi. Sorakan padu dan arahan tegas dikeluarkan oleh anak-anak muda tersebut, seolah-olah katak itu boleh memahami. Lompatan demi lompatan dilakukan, cubaan demi cubaan diberi, namun semua usaha terbunuh dek dihalang tembokan baldi yang agak tinggi.

Ganjil.

  Dalam kalangan kawanan katak tersebut, terdapat seekor katak yang ganjil. Dia langsung terduduk. Tiada sebarang reaksi meskipun rakan-rakan yang lain memberi sepenuh daya dan usaha cuba melompat keluar. Walaupun teriakan mahupun cacian silih berganti diberi oleh tuannya dan rakan- rakan pemuda itu, dia tetap duduk tenang. Tidak memberi sebarang tindak balas. Hanya memerhati.

Selang beberapa ketika..

  Setelah cubaan demi cubaan menemui kebuntuan, katak-katak yang bertungkus-lumus mengikut arahan tuannya tadi akhirnya kehabisan tenaga, lalu mati. Jelas kelihatan raut kecewa pada wajah anak-anak muda mengenangkan kematian katak mereka. Satu persatu mati akibat kepenatan.

  Setelah semuanya mati terbaring atas satu dengan yang lain, tinggallah seekor katak ganjil tadi. Dia mendongak ke atas dan melihat kehadiran cahaya dari luar baldi. Lalu, dengan menggunakan badan rakan-rakan amphibianya sebagai tangga, dia melompat dan melompat dari satu ke satu badan katak yang lain, lantas berjaya keluar dari baldi tersebut.

Berjaya! *dari perspektif sang katak*
Katak pekak.

  Sebenarnya, katak yang berjaya keluar itu punya kelainan upaya. Ia telah hilang kebolehan mendengar. Kekurangan itu akhirnya memberinya kelebihan berbanding katak normal yang lain. Itulah sebabnya walau pekikan serta cemuhan diberi, dia tetap dengan dunianya.

Pengajaran?

  Kadang-kadang, kita perlu menjadi  seperti katak tersebut. Pekak. Dalam usaha kita mencari hidayah Allah, barangkali tidak semua persekitaran meraikan perjalanan kita. Ada kalanya tika kita ingin berubah, sampai ke telinga ajakan-ajakan melakukan perkara yang tidak ingin kita lakukan. Meskipun kita telah biasa melakukannya dahulu, kerana ingin berhijrah, kita tolak. Apabila ditolak, pelbagai tohmahan pula dilemparkan. Walau niat kita baik, barangkali tidak semua mengerti. Barangkali juga sukar untuk kita menerangkan. Dalam situasi seperti ini, kita perlu jadi seperti katak pekak. Tegas dengan pendiriannya. Usah menggadai agama demi dunia yang sementara. Mungkin sukar pada mulanya, tapi percayalah, wujud kemanisan di penghujung likuan kesukaran. Seperti kisah rambutan*(akan diceritakan kemudian). Ayuh rebut cinta Allah sebelum cinta manusia!

Maka..

3 comments:

  1. kenapa katak :3 (hish!)
    dah bace dah cite rambutan tu :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. ingat nak buat penyu :3, tapi penyu tak leh mlompat pulak :P

      Delete