Sunday, May 5, 2013

Tembikai

“Ahh selesai juga.”
  Abi meluruskan kedua tangannya, membetulkan sendi. Lama dia duduk mengadap meja pejabatnya itu. Hari yg sgt memenatkan. Baru sahaja proposalnya ditolak awal pagi tadi dek kerana perangkaan bajet baharu. Terpaksa dia bertungkus lumus merangka perubahan besar dalam struktur kewangan projeknya. Baru siap perancangan, namun perlu diterjemah ke dalam bentuk yang boleh dipersembahkan kepada ahli lembaga. Dihimpit tekanan masa membuatkan otaknya tambah serabut. Jam di tangan tepat menunjukkan angka 6. Tanda telah habis waktu pejabat. Pantas abi mencapai kunci Proton Saga yg berada di atas meja. Seusai 'punch card', abi bergegas menuju ke tapak parkir kereta dan memandu pulang.

  Di pertengahan perjalanan, pandangan abi tertarik pada buah2 tembikai yang dijual di tepi jalan. “Syaliah dgn Sakinah tentu suka.” Terbayang anak anaknya. Buahan kegemaran mereka. Abi meletakkan kereta di bahu jalan. Setelah berpuas hati dengan pilihan tembikai yang dirasakan terbaik menurut kulit luarannya, abi menghulurkan wang dan disambut pakcik tua. “Jual ye,” kata dia. Ramah orangnya. Walau tak sempurna giginya tapi tak kedekut dengan senyuman. Manis.

  Akhirnya tiba jua abi di singgahsananya, hidupnya serba cukup dengan keperluan. Walau rumahnya tidaklah sebesar rumah ahli2 korporat lain, dia bahagia. Baginya harta bukan penentu bahagia, cukup punya ahli rumah yang menyejukkan mata. Sesampai abi di daun pintu, pantas anak2nya berlari mendapatkannya. “Ummi, abi dah balik!” teriak mereka. Tersimpul senyuman di wajah abi melihat puteri2 dan permaisurinya. Tapi senyumannya kembali mendatar, benak fikirannya masih terganggu dengan penolakan proposalnya pagi tadi, sepatutnya pihak atasan memberi makluman awal perihal perubahan struktur polisi, bukan pada saat pembentangan. Desus hatinya sambil melonggarkan tali leher.

“Abi bawa balik buah tembikai ni.”
  Terlonjak gembira Syaliah dan Sakinah, sayang mereka pada abi. Ummi mengambil buah dari tangan abi dan bersedia memotongnya. Dikelilingnya abi serta puteri2 mereka membuat bulatan mengelilingi buah tembikai. Terpancar sinaran pengharapan pada mata puteri mereka, barangkali lama tidak dibelikan. Mata pisau dibenamkan kedalam kulit, membelah diameter buah hingga ditemukan semula dengan tusukan pertama. Lengkap 1 pusingan membelah dua. Saat isi tembikai itu dihadapkan pada penglihatan mereka, alangkah terkejutnya seluruh isi rumah itu melihatkan isi buah yang rosak.

  Hitam, berkulat. Luarannya cantik, tiada siapa sangka isinya busuk. Tidak boleh dimakan. Serta merta wajah ceria puteri kecil bertukar masam mencuka. Punah. Terbunuh harapan mereka. Ternganga kebingungan. Tak sanggup abi melihat mereka. Ditambah dengan masalah sedia ada di pejabat, hatinya panas, darahnya naik ke kepala, bengang, mukanya merah. Diambilnya buah itu, pantas dia berdiri bergegas merentap kunci di atas meja kopi dan memecut keretanya. Tak sempat permaisurinya menenangkan dia. Puteri puterinya berdiri mengintai dari belakang baju ummi kerana ketakutan melihat reaksi abi. “Jarang sekali abi berlaku begitu,” bisik hati ummi.

  Sampai di bahu jalan, abi keluar dari kereta berjalan pantas, terus menerkah org tua tadi. Dengan suara yang tegas, abi mengadu perihal buah yang rosak. Dimarahnya org tua itu, abi betul2 hilang pertimbangan. Org tua itu membiarkan sahaja pelanggannya berleter. Dia terus senyum. Mendengar dan mengangguk tanda akur akan kata2 pelanggannya.

  Selesai abi melepaskan marahnya, lelaki tua itu bersungguh2 memohon maaf. Ditambahnya lagi,

“Wahai pemuda, tuan begitu marahkan saya kerana buah yang rosak. Saat tuan hendak membeli buah ini dari saya tadi, pasti tuan mengharapkan buah yang terbaik. Saya hanyalah seorang penjual, ketika saya beli buah ini dari pemborong, saya juga mengharapkan yang terbaik dari pemborong itu. Juga saat pemborong itu membelinya dari petani, dia juga berhajat mendapatkan buah yang terbaik. Begitu juga saat petani itu menanamkan benih tembikai, dia menjaganya, memastikan buah itu tumbuh elok, dia juga mengharapkan yang terbaik akan tanamannya. Namun, yang berkuasa memperelokkan isi buah ini hanya Allah. Jadi, cuba tuan fikirkan, siapa sebenarnya yang tuan marahkan?”

  Mendengar kata2 tersebut, terasa ibarat tertampar hatinya. Ditusuk dengan kebenaran kata-kata penjual itu. Abi terus tersedar, yang dimarahinya bukan pakcik tua itu, dia tidak punya kuasa terhadap buah itu. Begitu juga si pemborang dan peladang. Semua tidak mampu memastikan buah itu elok. Yang berkuasa memastikan buah itu sempurna tidak lain hanyalah Allah, tuhannya. Dia Al-Khaliq. Dia Al-hafiz. Dia maha pencipta lagi maha memelihara. Siapalah abi untuk memarahi. Hati abi terus sebak. Bergenang lopak matanya. Baru sekarang dia nampak. Diselubungi sedikit ujian, dia lupa ber Husnu Zan dengan rab Nya.

  Abi memeluk pakcik tua tadi lantas meminta maaf. Jatuh takungan air mata abi. Dia mengucapkan terima kasih kerana menyedarkannya. Pakcik tua tadi memberinya buah yang baru, diterima abi dengan perasaan malu. Abi pun pulang. Abi menceritakan segalanya pada ummi, bagaimana Allah mentarbiahkannya melalui perantaraan si penjual buah. Mereka berazam menerapkan akhlak untuk sentiasa bersangka baik pada Allah serta manusia dalam baitul muslim mereka, saat senang mahupun waktu ditimpa kesusahan. Oh ya, Syaliah dgn Sakinah kata tak pernah mereka rasa buah yang sesedap itu!

Apa yang dilihat di luar mencerminkan apa yang ada di dalam.

  Andai kita sering merasakan seluruh dunia mempunyai masalah dengan kita, sebenarnya punca utama bukanlah faktor luaran, tetapi ada pada diri. Bagaimana cara kita melihat dunia menggambarkan dalaman, itulah yang tersemat. Kalau kotor dalamnya, jeliklah luarnya, andai bersih, indah rasa dunia ini, rasa dikasihi, terasa wujud ramai mereka yang baik-baik di luar sana. Apa-apa sahaja kesulitan yang datang, jangan terlalu cepat menuding jari menyalahkan orang lain. Bahaya andai kita sering rasa, kita sentiasa betul, tidak pernah salah.

Jika ditimpa sesuatu..

Akurlah bahawa ketentuan sebenarnya datang dari Allah, bukankah Dia sebaik-baik perancang? Pasti ada hikmah di balik setiap yang berlaku.

Life is like connecting dots. We wouldn’t see the path if we look forwards, but if we look backwards, we’ll see it clearly. – Steve Jobs

Bagaimana menerima teguran?

  Jika ditegur, lihat apa yang diperkatakan, bukan siapa yang memperkatakan. Orang itu barangkali tidak sempurna, jika dicari, pasti terjumpa kesalahnnya. Kalau dipandang kesalahannya, susah kita nak dengar dan terima apa yang dia sampaikan. Kita dikurnia dua mata, satu untuk melihat kebaikan orang lain, satu lagi untuk melihat keburukan diri. Ada prinsip ini, in sha Allah mudah untuk terima teguran.

  Benar, kebenaran itu pahit. Lebih pahit dari ubat, namun  perlu dimakan sebagai ikhtiar untuk sembuh. Untuk melawan penyakit hati ini, telanlah kebenaran, in sha Allah sembuh.

Bagaimana membenci sesuatu?

  Kita manusia tidak terlepas dari perasaan benci. Tidak salah membenci andai kena pada caranya. Malah untuk sesetengah keadaan, perlu! Seperti bila terlihat kemungkaran.

  Untuk membenci sesuatu, jangan benci pada orangnya, benci hanya pada perbuatan salah yang dilakukan. Jika benci pada orangnya, semua yang dilihat padanya akan kelihatan salah. Ada je yang tak kena, jgn! Itu membusukkan lagi menggelapkan hati. Diulangi, benci hanya pada perbuatan salah, dan belajar memaafkan. Allah yang punya  seluruh kerajaan pun Maha Pengampun. Siapalah kita yang tak punya apa-apa untuk menyimpan dendam.

  Sebelum tidur, maafkan segala kesalahan orang lain, dan doa Allah campakkan kelembutan dalam hati orang yang kita berbuat salah untuk memaafkan kita.

Bersangka baik dengan Allah,
Bersangka baik dengan manusia.
Hidup akan sangat indah In sha Allah,
Tak kan kusut tak kan sia-sia :)

Wallahu a’lam.


No comments:

Post a Comment