Thursday, April 25, 2013

Katak pekak


  Jauh di pedalaman suatu belantara wujud sebuah desa kecil. Di sana, kelihatan kecoh anak muda berkumpul sedang melakukan sesuatu. Mereka punya sebuah hobi aneh. Mereka sedang mengumpul katak-katak yang dijumpai di kampung tersebut. Tiap-tiap katak tersebut kepunyaan setiap anak muda di kampung itu. Masing-masing berbangga dengan mendakwa katak  mereka lah yang paling hebat. Boleh melakukan itu dan ini.

  Lalu mereka ingin menguji, katak siapa sebenarnya yang paling gah. Mereka mengumpul  segerombolan katak tersebut dan diletakkan bersama di dalam sebuah baldi besar. Katak yang mula-mula berjaya melompat keluar daripada baldi tersebut akan dianggap pemenang.

Perlawanan bermula.

  Tiap-tiap katak tersebut mula melompat sejurus dilepaskan ke dalam baldi. Sorakan padu dan arahan tegas dikeluarkan oleh anak-anak muda tersebut, seolah-olah katak itu boleh memahami. Lompatan demi lompatan dilakukan, cubaan demi cubaan diberi, namun semua usaha terbunuh dek dihalang tembokan baldi yang agak tinggi.

Ganjil.

  Dalam kalangan kawanan katak tersebut, terdapat seekor katak yang ganjil. Dia langsung terduduk. Tiada sebarang reaksi meskipun rakan-rakan yang lain memberi sepenuh daya dan usaha cuba melompat keluar. Walaupun teriakan mahupun cacian silih berganti diberi oleh tuannya dan rakan- rakan pemuda itu, dia tetap duduk tenang. Tidak memberi sebarang tindak balas. Hanya memerhati.

Selang beberapa ketika..

  Setelah cubaan demi cubaan menemui kebuntuan, katak-katak yang bertungkus-lumus mengikut arahan tuannya tadi akhirnya kehabisan tenaga, lalu mati. Jelas kelihatan raut kecewa pada wajah anak-anak muda mengenangkan kematian katak mereka. Satu persatu mati akibat kepenatan.

  Setelah semuanya mati terbaring atas satu dengan yang lain, tinggallah seekor katak ganjil tadi. Dia mendongak ke atas dan melihat kehadiran cahaya dari luar baldi. Lalu, dengan menggunakan badan rakan-rakan amphibianya sebagai tangga, dia melompat dan melompat dari satu ke satu badan katak yang lain, lantas berjaya keluar dari baldi tersebut.

Berjaya! *dari perspektif sang katak*
Katak pekak.

  Sebenarnya, katak yang berjaya keluar itu punya kelainan upaya. Ia telah hilang kebolehan mendengar. Kekurangan itu akhirnya memberinya kelebihan berbanding katak normal yang lain. Itulah sebabnya walau pekikan serta cemuhan diberi, dia tetap dengan dunianya.

Pengajaran?

  Kadang-kadang, kita perlu menjadi  seperti katak tersebut. Pekak. Dalam usaha kita mencari hidayah Allah, barangkali tidak semua persekitaran meraikan perjalanan kita. Ada kalanya tika kita ingin berubah, sampai ke telinga ajakan-ajakan melakukan perkara yang tidak ingin kita lakukan. Meskipun kita telah biasa melakukannya dahulu, kerana ingin berhijrah, kita tolak. Apabila ditolak, pelbagai tohmahan pula dilemparkan. Walau niat kita baik, barangkali tidak semua mengerti. Barangkali juga sukar untuk kita menerangkan. Dalam situasi seperti ini, kita perlu jadi seperti katak pekak. Tegas dengan pendiriannya. Usah menggadai agama demi dunia yang sementara. Mungkin sukar pada mulanya, tapi percayalah, wujud kemanisan di penghujung likuan kesukaran. Seperti kisah rambutan*(akan diceritakan kemudian). Ayuh rebut cinta Allah sebelum cinta manusia!

Maka..

Tuesday, April 23, 2013

Denai persahabatan.


Wahai sahabat,
Untuk berada di puncak dunia, perjalanannya amat sepi.
Walau kita tahu realitinya sukar, kita teruskan melangkah.
Bersama,
Kita saling beri sokongan.
Bersama,
Kita maju dan maju dan terus maju.

Ada kalanya kecelikan kita dilitupi samaran kegelapan,
Kita jadi mata utk satu sama lain.
Ada saatnya ribut petir menggusarkan kita,
Kita hadir menenangkan satu sama lain.
Ada masanya tangisan awan mencakar diterminasi kita,
Kita wujud memimpin satu sama lain.
Ada tikanya terik suria menjadikan kita tidak keruan,
Kita bingkas memayungi dan mententeramkan satu sama lain.

Wahai sahabat,
Mulanya dicatur perjalanan kita menggengam segulung diploma.
Tanpa disangka,
dalam pengembaraan kita mendapatkannya,
kita temui harta yang tidak ternilai.
Sahabat.
Itulah emas, itulah permata.
Walau seenak mana manisan yang ada di bumi ini,
Persahabatan itu lebih manis lagi.
Walau semahal mana harta kebendaan yang ditemui,
Nilai persahabatan itu tiada sebutan harganya.

Wahai sahabat,
Kita punya perspektif berbeza,
Kita punya prospek berbeza,
Kita punya kata berbeza,
Kita punya cara berbeza.
Tapi itu semua bukan penghalang,
untuk kita meletakkan persahabatan di atas segala kelainan.

Kini, kita telah sampai ke penghujung denai.
Dari sini,
Kita perlu mengembara di haluan sendiri, laluan sendiri.
Meski begitu,
Kita tidak pernah sendiri!
Kita punya satu sama lain,
Kita punya senjata yang dipanjatkan ke Ilahi buat satu sama lain.
Sentiasa.
Pengalaman dari pengembaraan bersama, bawalah ia sebagai bekalan.

Kita hanya manusia biasa,
Yang  tidak terlepas dari ketentuan.
Andai ada pertemuan,
Pasti ada perpisahan.
Namun,
walau jasad kita terpisah.
Jiwa kita tetap bersatu.

Sahabat,
Kadangkala kita bergembira,
kadang kala kita bersengketa.
Sahabat  meraikan,
dan sahabat memaafkan.

Monday, April 22, 2013

Pelayaran sang pengembara


   Wahai puteri,
 bahtera cinta kita tidak sejajar menuju destinasi yang diharapkan. 
Lelah mencari erti cinta, yang ditemui hanyalah jauh darinya. 
Mulanya dicatur perjalanan kita menuju redha ilahi, 
namun dek kelemahan diri, 
kita dipermainkan bisikan musuh, 
dikaburkan pandangan, 
dilapisi kabus tebal. 

Bahtera kita banyak kekurangannya. 
Pelayaran kita dikemudi tanpa ilmu yang cukup, 
tanpa iman yang utuh, 
tanpa asas yg kukuh. 
Goyah, rapuh. 
Hanya berpandukan perasaan ingin tahu 
dan gerak hati. 

Kini, segalanya telah jelas, 
kita telah jauh tersasar dari haluan hakiki. 
Cukuplah, jgn diteruskan. 
Cukuplah kita tersasar. 
Masih belum terlambat.

   Islam tidak mengajar kita terlewat. 
Nabi tidak pernah mengajar kita terlambat. 
Sedangkan kita diberitahu jika esok adalah penghujung dunia, 
dan kita punya benih di tangan, tanam benih itu! 
Yakinlah, Allah maha penerima taubat.

   Saudara tidak pernah menyesal mengenalimu, 
pengalaman dari pengembaraan kita, 
akan saudara bekalkan sebagai pengajaran. 
Disini, sementara nafas masih dihembus, 
roh masih di jasad, 
saudara punya hasrat yang ingin dipanjangkan.

Pinta buat sang puteri,
   Maafkan saudara, 
maafkan saudara atas segala kekhilafan, kejahilan, 
kerana mengambil masa yang lama utk menyedari 
bahawa kita telah jauh menjauhi destinasi asal. 
Saudara akui, kita punya niat yang baik, 
tapi niat tidak menghalalkan cara. 
Dan ini bukan caranya. 
Maafkan saudara, 
saudara tinggalkan puteri di pulau ini, 
pulau yg dipimpin oleh raja yang bertanggungjawab terhadapmu.

   Belayarlah dgn pelayaran mu sendiri. 
Wahai puteri, 
usahlah khuatir, 
agama kita cukup sempurna, 
kita punya pusaka yg ditinggalkan junjungan kita, 
al-quran dan sunnah, 
jadikan ia navigasi pelayaranmu. 

Usah puteri berasa sunyi, 
puteri punya raja dan ratu di sampingmu, 
jadikan bakti terhadap mereka antara misi penting penerokaanmu, 
redha mereka salah satu matlamatmu. 

Berhati-hati dalam pemilihan teman, 
mereka elemen penting dalam merencah haluanmu 
kepada cahaya atau kegelapan. 
Dampingilah mereka yang sentiasa memberi peringatan dan teguran. 
Tanda-tanda sahabat yang baik apabila melihatnya 
mengingatkanmu akan Allah. 
Berkecimpunglah dalam suasana yang memudahkan kita 
utk mengamalkan agama dengan sempurna. 
Usah berhenti dalam usaha mempersiapkan dirimu.

   Ingatlah, puteri tidak pernah sendirian, 
Allah sentiasa ada di sisi. 
JadikanNya tempat mu mengadu. 
Dia Maha Mendengar. 

Suatu hari nanti, saudara yakin, 
akan ada bahtera membawa mu belayar, 
dan ia dikemudi oleh nahkoda yang soleh dan sempurna untukmu. 
Dia pelengkap agamamu, 
yang akan bersama sama mu menempuh suka duka, 
pahit jerih dalam perjalananmu merebut redha allah. 
InsyaAllah. 
Yakinlah namanya telah tertulis utkmu, 
yg lebih mustahak adalah persolehahkan dirimu.

   Akhir sekali, 
usahlah memandang ini sebagai penutup coretan perjalanamu. 
Tapi, lihatlah ia sebagai permulaan, 
permulaan kepada sebuah kembara penerokaanmu, 
dalam usahamu mendapatkan jannah.

   Wahai puteri, 
usah ditangis pemergian saudara, 
yakinlah yang Maha Mengetahui punya perancangan terbaik buat kita. 
Iringi perjalanan saudara dengan doa dan kemaafanmu.

Assalamualaikum.

Wednesday, April 3, 2013

Perhentian Seterusnya…

Menanti di Barzakh - Far East

   Al-kisah terdapat sebuah negeri yang luas yang melantik raja dari kalangan rakyatnya untuk tempoh 10 tahun. Kemudian setelah tamat tempoh tersebut raja itu akan dibuang ke suatu kawasan di tengah-tengah padang pasir yang jauh dari bandar di negeri tersebut. Raja tersebut dibiarkan sendirian sehingga mati kelaparan. Itulah nasib raja-raja yang telah memerintah negeri tersebut sejak berkurun lamanya.

   Kemudian datang sesi pemilihan raja yang baru, tiada dalam kalangan rakyat yang sanggup menerima takhta itu. Kerana mereka tahu meskipun dapat merasa kesenangan dan kenikmatan memiliki harta dan kuasa, itu hanya sementara kerana akhirnya mereka akan dibiarkan mati.

Selang beberapa ketika, datang seorang yang cerdik dari kalangan mereka sudi memerintah negeri tersebut.

10 tahun berlalu..

   Sampailah waktu di mana perjanjian hendak ditunaikan. Ketika pemimpin-pemimpin negeri  tersebut ingin membuang raja itu ke tengah-tengah gurun padang pasir di negeri tersebut, alangkah terkejutnya mereka melihat kawasan itu telah terbangun dengan majunya. Sehingga tiada lagi kawasan padang pasir yang tidak didiamai. Rupa-rupanya raja yang cerdik itu di waktu pemerintahannya secara senyap-senyap telah membangunkan setiap kawasan di negerinya yang luas sehingga tiada lagi tempat yang terpencil, tiada lagi gurun atau padang pasir yang tidak didiami.  Bijak bukan? Sama seperti raja-raja sebelumnya, dia telah tahu destinasi yang akan dituju. Bezanya, dia telah membuat persiapan dengan memajukan kawasan tersebut.
  
Bagaimana dengan kita?

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, "
(Al-Imran : 185)

   Telah sedia maklum perhentian kita yang seterusnya ialah barzakh. Barzakh merupakan persinggahan pertama dalam perjalanan akhirat. Andai kehidupan di barzakh itu mudah, maka mudahlah urusan selepasnya. Andai sukar, maka akan lebih sukarlah sesudah itu.

Apa yang paling hampir dengan kita?

   Yang paling hampir dengan kita ialah kematian. Tidak dilambat atau dicepatkan walau sesaat. Saban hari umur bertambah, saban hari masa di dunia berkurang. Singkatnya dunia ini, lebih kurang 60 70 tahun je. Tapi...betul ke sampai 60? Acapkali kita menyangka kita akan mati di usia tua, hinggakan kita rasa suatu hari nanti pasti kita akan berubah. Risau rakan-rakan, andai kita masih belum diberi hidayah hingga ke saat akhir.

   Bila sebenarnya tua? tua itu subjektif, sedangkan orang yang kita anggap tua pun apabila melihat orang yang lebih tua menganggap dirinya masih muda. Kematian tidak mengenal usia. Dia tidak meminta izin daripada si pemilik nyawa untuk datang melaksanakan ketetapan. Kita sering menganggap akan ada hari esok. Suatu hari nanti, akan datang hari di mana tiada lagi esok buat kita. Oleh itu, usahlah berlengah. Ayuh ragut semua peluang kebaikan yang kita boleh bawa ke akhirat!

   Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail: ‘Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.’

Kira-kira hampir setiap 20minit wajah kita dilihat Izrail setiap hari.

Bagaimana persediaan kita?
Mari periksa iman.

“Sesiapa antara kamu yang melihat perkara mungkar, hendaklah dia mengubah atau mencegah dengan tangannya. Jika dia tidak berkuasa mencegah dengan tangan, hendaklah dia mencegah dengan lisan. Jika dia tidak berkuasa mencegah dengan lisan, hendaklah dia mencegah dengan hati. Dan mencegah dengan hati itu merupakan selemah-lemah iman.”

Bagaimana cara mencegah dengan hati? Dengan membenci kemungkaran itu, iaitu wujud perasaan tidak redha ia berlaku.

Hari ini, lihat berapa banyak kemungkaran yang ada di sekeliling kita. Ada tak inisiatif untuk cegah? Atau sekurang-kurangnya mengurangkan? Atau setidak-tidaknya membenci maksiat tersebut?

Selemah-lemah iman adalah dengan membenci maksiat tersebut. Risaunya jika kita suka atau tiada perasaan langsung melihatnya. Apa tahap iman kita waktu itu? Andai roh di jasad ini ditarik saat kita lakukan maksiat, ke mana tempat kita? Nauzubillah min zalik.

Ya Allah, ambillah nyawa kami saat kau redha akan kami.
Saat kau telah mengampuni segala dosa kami.
Saat kami berada paling hampir denganMu.
Matikan kami dalam khusnul khatimah.

Oleh itu...
Mari persiapkan akhirat.

Amat beruntung orang yang hari ini lebih baik dari semalam.
Amat rugi orang yang hari ini sama dengan semalam.
Dan celaka lah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam.

Moga-moga kita berada di dalam keadaan cinta yang paling hampir dengan Allah saat roh ini dipanggil.

Ayuh persiapkan bekalan!

Kata nabi, "orang yang paling bijak ialah orang yang paling banyak mengingati maut dan menyediakan persiapan menghadapinya."

Mari jadi orang yang bijak ^^

Wallahu A'lam.